fb fb fb fb fb

Perak, Kedah dan Perlis catat peningkatan penduduk terjejas banjir

FOTO APM PERLIS

KUALA LUMPUR, 19 Oktober- Banjir yang melanda Perak, Kedah dan Perlis menyebabkan jumlah penduduk terjejas meningkat kepada 2,348 orang setakat pukul 8.00 pagi tadi.

Di Perak, seramai 1,619 orang daripada 505 keluarga terjejas pagi ini. Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, sebanyak 12 pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka melibatkan lima daerah.

Di Kuala Kangsar, tiga PPS beroperasi termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Lasah yang menempatkan 223 penduduk daripada 65 keluarga, Dewan Pandak Hamid (476) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RLKT Lasah (212).

Di Kerian, 62 penduduk berlindung di dua PPS iaitu SK Changkat Lobak (35) dan SK Parit Haji Amin Bagan Serai (27) melibatkan 19 keluarga. Tiga PPS juga dibuka di Hilir Perak iaitu Dewan Serbaguna Padang Tembak (148), Dewan MPTI Langkap (147) dan Dewan Serbaguna Chikus (83).

Di Perak Tengah, seramai 222 penduduk daripada 76 keluarga berlindung di tiga PPS termasuk Dewan Orang Ramai Kampung Teluk Kepayang (33), SK Dato Sagor (107) dan SMK Sultan Muzafar Shah 1 (87). Sementara itu, PPS SK Kota Bharu di Kampar menempatkan 41 penduduk daripada 15 keluarga.

Di Kedah, jumlah penduduk terjejas juga meningkat kepada 260 orang daripada 75 keluarga ditempatkan di tiga PPS di dua daerah pagi ini berbanding 136 penduduk malam tadi.

Ini adalah susulan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di daerah Baling.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain melaporkan di Baling, 152 penduduk ditempatkan di dua PPS iaitu SK Siong (38) dan Dewan Tun Abdul Razak Lama (114) terdiri daripada 92 individu dewasa, 55 kanak-kanak dan lima bayi.

Di Kota Setar, jumlah penduduk di PPS SMK Simpang Kuala berkurangan kepada 108 orang berbanding 136 orang malam tadi dengan 60 individu dewasa, 45 kanak-kanak dan tiga bayi.

Sementara di Kuala Perlis (Perlis), jumlah penduduk dipindahkan ke dua PPS susulan fenomena air pasang besar juga meningkat sehingga 9.00 pagi.

Seramai 469 penduduk daripada 159 keluarga berlindung di dua PPS, berbanding 332 penduduk daripada 109 keluarga pada pukul 8.00 pagi tadi.

Pengarah APM Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Mohd Daud menyatakan PPS SK Seberang Ramai mencatat peningkatan mendadak kepada 287 penduduk daripada 106 keluarga berbanding 155 penduduk daripada 57 keluarga awal pagi tadi, manakala PPS IKBN Kuala Perlis kini menempatkan 182 penduduk daripada 53 keluarga, meningkat daripada 177 penduduk daripada 52 keluarga sebelum ini.

Jelas beliau, pihak APM bersama Sekretariat Pengurusan Bencana negeri terus memantau situasi banjir dan fenomena air pasang besar yang sedang berlaku.

SITI AISHAH MD ISA