KUALA LUMPUR, 13 Oktober - Sejumlah 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi akan mula dilaksanakan dengan kos melibatkan RM11.8 bilion pada tahun hadapan melalui Belanjawan 2024, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Antara projek terlibat termasuklah Rancangan Tebatan Banjir di Lembangan Sungai Pahang di Pahang; Sungai Langat Fasa 2 di Selangor; Sungai Jelai, Kuala Pilah di Negeri Sembilan; Sungai Likas, Kota Kinabalu di Sabah; Kuching Fasa 2 di Sarawak; Baling Fasa 2 di Kedah dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2 di Kelantan.
Anwar berkata Surat Setuju Terima (SST) bagi 24 projek dijangka akan dikeluarkan mulai Oktober tahun ini.
"Ia melibatkan kos keseluruhan RM5.1 bilion, manakala bakinya akan dikeluarkan SST pada suku tahun pertama tahun hadapan," katanya ketika membentangkan Belanjawan MADANI Kedua di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menambah, kerajaan menyediakan RM20 juta kepada 150 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak.
Ia bagi mengurangkan risiko air bertakung dan banjir kilat di seluruh negara.
Sementara itu, kerajaan menyediakan RM563 juta bagi pembaikan cerun seluruh negara bagi mengekang tragedi tanah runtuh seperti yang berlaku di Batang Kali lewat tahun lalu.
"Ini termasuk untuk program pemantauan, pencegahan dan pelaporan serta amaran awal melibatkan lebih 2,000 cerun yang berisiko tinggi," katanya.