(Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika
berucap pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2024 di Kementerian Kewangan hari ini/Foto Bernama)
PUTRAJAYA, 14 Julai- Kementerian Kewangan (MoF) akan meneruskan sesi libat urus; Belanjawan 2024 secara fizikal dan dalam talian bagi mendapatkan input pelbagai pihak untuk pembentangan belanjawan itu.
Demikian menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Selain sesi libat urus yang berlangsung di Kementerian Kewangan hari ini, siri jelajah ke negeri-negeri juga akan diadakan bersama rakan sejawatannya; Steven Sim Chee Keong bagi tujuan sama.
"Apa yang berlaku lepas ini dua timbalan menteri akan menguruskan libat urus dalam skala kecil, terbahagi kepada dua topik dan tajuk pilihan misalnya pendidikan, perumahan, kos sara hidup, kesihatan teknologi hijau, tajuk dipecahkan antara saya dan Steven Sim (Timbalan Menteri Kewangan II).
"Saya pergi ke negeri dapatkan pandangan dan pada awal tahun ini misalnya untuk Bajet 2023 saya sempat ke Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, kali ini ada lebih masa kami bahagikan negeri untuk dapatkan maklumat lanjut dan pandangan," katanya.
(Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan)
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas Majlis Libat Urus Belanjawan 2024, di sini hari ini.
Libat urus bertemakan 'Memperkasa Malaysia MADANI' itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Sesi yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri lebih 150 individu daripada pelbagai kementerian dan agensi serta pihak pemain industri antaranya Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom), Dewan Usahawan Industri Desa (DUID) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Orang ramai juga dialu-alukan memberikan pendapat dan input mengenai Belanjawan 2024 menerusi Laman Web Khas Belanjawan Kementerian Kewangan.
Ahmad Maslan memaklumkan Belanjawan 2024 akan dibentang pada Jumaat, 13 Oktober depan.