fb fb fb fb fb

Belanjawan 2024: 186 Pusat Ekonomi Digital dibina tahun depan - Fahmi

(Teo Nie Ching dan Fahmi Fadzil)

KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Belanjawan 2024 yang turut merangkumi peruntukan dalam sektor telekomunikasi serta pelaksanaan 5G diterima baik oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Bagi beliau, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam penyasaran semula serta penstrukturan subsidi.

"Ini bagi kami, adalah sebahagian daripada usaha pihak kerajaan, apa yang disebut perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai penyasaran semula subsidi dan juga beberapa penstrukturan.

"Sudah pasti, ada beberapa perkara lain yang sangat positif termasuk RM25 juta untuk perkasakan Pusat Ekonomi Digital bagi setiap DUN (Dewan Undangan Negeri).

"Pada Februari lalu, perdana menteri telah umumkan 'Dasar Satu DUN Satu Pusat Ekonomi Digital'. Insya-Allah menjelang tahun depan kita akan dapat bina 186 Pusat Ekonomi Digital yang baharu.

"Maka dana atau peruntukkan RM25 juta ini akan dapat bantu menjadikan pusat-pusat tersebut pemangkin kepada aktiviti ekonomi digital," katanya pada sidang media di lobi Parlimen yang turut dihadiri timbalannya, Teo Nie Ching.

Dalam pada itu, KKD menyambut baik peruntukan dana sebanyak RM90 juta bawah inisiatif Film in Malaysia Incentive (FIMI) bagi terus menggalakkan penghasilan filem bertaraf antarabangsa, sekali gus turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Fahmi berkata, pengumuman tersebut juga diharap dapat menjana lebih banyak aktiviti berkaitan khususnya industri kreatif.

"Ini akan membantu syarikat penggambaran untuk datang ke Malaysia. Daripada aktiviti itu, kita juga turut menjangkakan akan memberi kesan kepada ekonomi negara. Maknanya untuk setiap AS$1 yang dilabur syarikat luar dalam aktiviti penggambaran di Malaysia, ia memberi kesan ke dalam ekonomi kira-kira tiga kali ganda daripada pelaburan itu," katanya.

(FOTO HIASAN)

Media Baharu