KUALA LUMPUR, 13 Oktober- Belanjawan 2024 turut terarah untuk melindungi kesejahteraan komuniti tumpuan iaitu orang asli, orang kurang upaya (OKU), warga emas serta golongan banduan dan pelarian.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, "orang asli menerima peruntukan sebanyak RM333 juta termasuk pelaksanaan projek pembangunan sosioekonomi, prasarana di perkampungan Orang Asli dan pemberian bantuan sosial."
Daripada jumlah itu, RM28 juta bagi mempergiat program pembangunan usahawan Orang Asli serta penanaman semula ladang Orang Asli antaranya di Batang Padang, Perak dan Hulu Langat, Selangor.
Bagi melindungi kesejahteraan dan mendaya upaya orang kurang upaya (OKU), sebanyak RM1.2 bilion disediakan.
"Kadar elaun pelatih OKU yang mengikuti Program Pemulihan Dalam Komuniti akan ditingkatkan kepada RM300 pada tahun depan yang memberi manfaat kepada lebih 18,000 pelatih berkenaan," katanya.
Sejumlah RM1 bilion turut diperuntuk bagi melindungi kesejahteraan warga emas bagi membiayai bantuan tunai dan penyaluran dana kepada institusi jagaan dan pusat aktiviti kumpulan itu.
"Elaun bangunan industri diberikan kepada rumah jagaan kejururawatan swasta warga emas yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kadar 10 peratus daripada kos bangunan yang dibina atau dibeli, termasuk kos pengubahsuaian bagi setiap tahun taksiran," katanya di sini.
Dalam pada itu, golongan banduan dan pelarian tidak terpinggir dalam Belanjawan 2024.
Program PEKA (Peluang Kedua Anda) oleh Jabatan Penjara turut menerima sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan program itu bagi menyediakan latihan kompetensi yang diakreditasi oleh CIDB kepada para pesalah.
"Kerajaan juga akan membentangkan pindaan bagi Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi membolehkan penagih dadah menerima rawatan dan pemulihan tanpa dimasukkan ke institusi penjara," katanya.
Malaysia juga bersedia mempertimbang akses yang terkawal kepada keperluan asas termasuk pekerjaan, perkhidmatan serta pendidikan kepada pelarian dan pencari suaka.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim)