KUALA LUMPUR, 15 November- Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Dr Ibrahim Saad, 78, meninggal dunia pada pukul 6.30 petang tadi di Hospital Pakar Damansara akibat komplikasi pernafasan.
Perkara itu dimaklumkan oleh anak lelaki Allahyarham, Datuk Zairil Ayu Ibrahim, 49.
Menurut Zairil bapanya mengalami serangan jantung dan telah menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dua minggu lepas.
Allahyarham meninggalkan seorang balu Puan Sri Zainab Abdul Kadeer, 76, dan lima cahaya mata.
Jenazah Allahyarham dijangka dimandikan dan disolatkan di Masjid At-Taqwa, TTDI pada pukul 9.00 pagi esok sebelum dibawa untuk pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada pukul 11.00 pagi.
Karier politik Allahyarham bermula sebagai Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983.
Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya selama dua penggal bermula 1986 dan pernah menjadi Ahli Parlimen Tasek Gelugor pada 1995.
Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pada 1990 hingga 1995 dan kemudian menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1995-1999) dan Timbalan Menteri Pengangkutan (1999).
Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang jawatan Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) pada 2005 hingga 2007 dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (2007-2009).