ABU DHABI, 15 November- Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong tindakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berhubung dakwaan rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu.
Jelasnya, beliau meneliti laporan media mengenai isu berkenaan dan berharap ia tidak mengganggu sesi perbahasan pembentangan Belanjawan negeri itu dan Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
"...dan saya mendapati bahawa pendirian Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan harus jadi pegangan pada pemimpin parti lain," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatannya kerjanya ke Abu Dhabi, Emirah Arab Bersatu (UAE).
Hajiji sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan menggesa siasatan dilakukan terhadap rakaman audio tular berkaitan dakwaan rasuah itu.