LONDON, 10 Oktober -Bekas Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, dilantik sebagai penasihat kanan sambilan di dua syarikat teknologi terkemuka Amerika Syarikat Microsoft dan syarikat pemula kecerdasan buatan (AI), Anthropic.
Pelantikan itu didedahkan oleh Jawatankuasa Penasihat Pelantikan Perniagaan (ACOBA).
Menurut ACOBA, peranan Sunak di Microsoft melibatkan pemberian “pandangan strategik peringkat tinggi mengenai trend makroekonomi dan geopolitik”.
Sunak turut memaklumkan bahawa beliau tidak akan menerima sebarang manfaat kewangan peribadi daripada pelantikan tersebut, sebaliknya akan menyumbangkan keseluruhan gajinya kepada yayasannya, The Richmond Project, yang memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran matematik dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.
Satu lagi laporan ACOBA yang diterbitkan pada September lalu turut mendedahkan bahawa Sunak telah menerima pelantikan berbayar sebagai penasihat kanan sambilan di Anthropic, syarikat AI berpangkalan di Amerika Syarikat.
Dalam peranan tersebut, beliau akan bekerjasama dengan barisan kepimpinan tertinggi syarikat untuk memberikan input strategik berhubung ekonomi global dan isu geopolitik sama seperti peranannya di Microsoft.
Langkah Sunak itu mencerminkan jejak beberapa tokoh politik utama lain, termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Britain, Nick Clegg, yang menyertai syarikat Meta sebagai Presiden Hal Ehwal Global pada tahun 2018. - AFP