fb fb fb fb fb

23 pekerja sesak nafas, pedih mata akibat kebocoran bahan kimia

Semua mangsa dipercayai terhidu tumpahan bahan kimia jenis isosianat./Foto JBPM Perak

MUALLIM, 9 Oktober – Seramai 23 pekerja mengalami sesak nafas dan pedih mata susulan kebocoran bahan kimia di sebuah kilang di Proton City, Tanjung Malim, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim, DSP Suhaimi Muhamad, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.20 petang.

Beliau memaklumkan, semua mangsa berusia antara 19 hingga 45 tahun dipercayai terhidu tumpahan bahan kimia jenis isosianat.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, berkata siasatan awal mendapati kebocoran berlaku pada sistem paip, menyebabkan kira-kira 15 liter bahan kimia tertumpah.

Menurut beliau, ketua operasi mendapatkan nasihat pasukan Hazmat bagi menetapkan prosedur kerja pembersihan sebelum kebocoran ditutup sepenuhnya.

Kerja pembersihan dijalankan menggunakan pasir bagi menyerap tumpahan bahan kimia berkenaan.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI