BUKIT BERUANG, 10 Oktober - Sebanyak 31 paket minyak masak bersubsidi seberat 1 kilogram dan 8 botol minyak masak 5 kilogram pelbagai jenama dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Melaka dalam satu serbuan di sebuah restoran di Bukit Beruang pada 8 Oktober lalu.
Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin, berkata serbuan berkenaan dijalankan menerusi Ops Samar 5.0 hasil aduan awam dan risikan pihaknya.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat minyak masak paket bersubsidi yang telah dipotong dan dipindahkan ke dalam botol lima kilogram untuk kegunaan restoran terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM324.70.
Pihaknya turut mendapati pemilik restoran seorang wanita berusia 50-an gagal mengemukakan permit atau lesen menyimpan barang kawalan minyak masak bersudsidi. Kes disiasat dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961.