KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Mantan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdullah Mohamad meninggal dunia di Damansara Specialist Hospital pada pukul 5.00 pagi tadi, kata anaknya Datuk Mohamad Arif Abdullah.
Jenazah allahyarham akan dibawa ke Masjid At-Taqwa TTDI dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat zuhur, kata Arif.
Abdullah, 91, namanya mula tercatat dalam sejarah penyiaran negara sebagai Ketua Pengarah Penyiaran pada 1975 menggantikan Dol Ramli yang bersara setelah menyandang jawatan itu sejak 1969 berikutan penggabungan perkhidmatan radio dan televisyen.
(Bekas Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abdullah Mohamad, 91, meninggal dunia pagi tadi)
Berasal dari Muar, Johor, Abdullah mula berkecimpung dalam bidang penyiaran pada Januari 1954 sebagai juruhebah dan penterjemah seterusnya berkhidmat di Bahagian Melayu British Broadcasting Corporation, London bermula 1957 hingga 1962.
Selain bertugas membuat hebahan dan memutarkan piring hitam dalam konti siaran, beliau juga terlibat dengan tugas di luar untuk menemu ramah pemimpin dan masyarakat serta membuat ulasan selari bagi acara- acara penting untuk siaran radio.
Selama lima tahun di stesen itu, Abdullah sempat menimba banyak pengalaman dalam bidang penyiaran dan kemudian kembali ke tanah air dan mengalihkan perhatiannya pula kepada penerbitan siaran TV yang bermula pada 28 Disember 1963.
Menariknya dalam sejarah penyiaran TV di Malaysia kerana beliau merupakan salah seorang daripada lapan penerbit TV perintis. Mereka yang lain ialah Ahmad Merican, Hashim Amir Hamzah, Long Hin Boon, Syed Alwi, Tan Gek Seam, Jimmy Massang dan Richard Job. Beliau diberi tanggung- jawab menerbitkan rancangan Arena Sukan, sebagai salah satu rancangan TV yang diminati penonton.
Kerjayanya dalam bidang penyiaran turut berkembang apabila perkhidmatan Radio Malaysia dan TV Malaysia (RTM) disatukan menjadi Radio Televisyen Malaysia pada 1969.
Beliau dilantik sebagai Pengawal Rancangan TV, Pengarah Rancangan RTM dan kemudiannya Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran. Kemuncak kerjaya, beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran pada 1975.
Kedua-dua perkhidmatan radio dan TV, RTM bawah pentadbirannya terus berkembang termasuk stesen-stesen radio di peringkat kawasan dan negeri.
Antara pencapaian RTM di bawah pentadbirannya adalah pengenalan siaran televisyen berwarna di Malaysia dan peluasan siaran televisyen ke stesen Sabah dan Sarawak.
Allahyarham Abdullah yang juga pengasas dan presiden pertama PVRTM pernah menerima anugerah Tokoh Seri Angkasa pada 2010, dan National Press Club juga pernah menganugerahkan beliau dengan NPC-Ambank Media Legend Award 2012 bagi menghargai sumbangannya dalam industri media negara.
Beliau juga pernah dilantik sebagai Honorary ABU Councillor, dan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk daripada kerajaan.
Abdullah meninggalkan seorang balu Datin Marion Abdullah dan empat anak.