fb fb fb fb fb

Bekas Ketua Pengarah J-KOM selesai beri keterangan, dedah identiti ‘Mr H’

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Mohammad Agus Yusoff, diiringi peguamnya, ditemui media selepas memberi keterangan di IPD Kajang susulan video perbualan miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM yang tular dan dilaporkan telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab/FOTO BERNAMA

KAJANG, 20 November - Bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff telah selesai memberi keterangan kepada polis berkaitan kes video perbualan mirip dirinya dengan seorang kakitangan J-KOM.

Beliau yang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada pukul 2 petang, selesai memberi keterangan pada pukul 5.25 petang.

Ketika ditemui media selepas selesai memberi keterangan, Mohammad Agus berkata beliau telah mendedahkan identiti individu digelar ‘Mr H’ yang dikaitkan dengan kes berkenaan dalam keterangannya kepada polis, namun beliau enggan mendedahkannya kepada media.

“Saya tidak mahu komen perkara ini (pendedahan identiti ‘Mr H’), saya serahkan siasatan kes ini kepada polis,” katanya.

Mohammad Agus berkata beliau juga membuat satu lagi laporan polis hari ini terhadap pemilik akaun TikTok ‘Raja Petra’ susulan penularan satu video TikTok yang mendedahkan maklumat peribadi beliau.

Beliau berkata laporan polis itu dibuat kerana maklumat peribadinya yang didedahkan melalui video TikTok akaun ‘Raja Petra’ itu boleh membahayakan keselamatan diri dan keluarganya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi Bernama mengesahkan bahawa Mohammad Agus selesai memberi keterangan di IPD Kajang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan pula ketika dihubungi berkata kes itu disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Terdahulu, tular menerusi media sosial video berdurasi tiga minit memaparkan perbualan secara dalam talian antara lelaki didakwa mirip Mohammad Agus dengan seorang individu lain.

Mohammad Agus pada sidang medianya Jumaat lepas di sebuah hotel di Bangi dekat sini, mendakwa video itu disunting dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN