fb fb fb fb fb

Bekalan telur ayam stabil, pengeluaran melebihi permintaan - KPKM

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengekalkan pemantauan berterusan terhadap data pengeluaran telur bagi memastikan pengguna tidak terbeban dengan isu bekalan atau harga. Foto- BERNAMA

PUTRAJAYA, 28 Ogos - Bekalan telur ayam di pasaran kekal mencukupi dan stabil, malah pengeluaran tempatan kini melebihi permintaan domestik.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan perkara itu berdasarkan data terbaharu pengeluaran telur di seluruh negara.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan berkata, susulan penstrukturan semula subsidi telur berkuat kuasa 1 Ogos lalu, pihak industri akan menyemak dan menyelaras harga jualan di pasaran terbuka berpandukan data pengeluaran semasa.

Menurut kenyataan itu, proses pelarasan harga merupakan sebahagian daripada mekanisme pasaran terbuka, namun tidak menjejaskan jaminan bekalan telur untuk pengguna.

Kementerian memaklumkan tinjauan mendapati bekalan telur Gred A, B dan C kekal stabil serta mudah diperoleh di pasar raya, manakala bekalan telur Gred Khas dengan harga mampu milik turut tersedia dalam kuantiti munasabah.

KPKM menegaskan pihaknya akan meneruskan pemantauan terhadap data pengeluaran telur termasuk meneruskan inisiatif Jualan Agro MADANI bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula sentiasa menjalankan pemantauan harga dan tindakan tegas akan diambil di bawah undang-undang sedia ada sekiranya berlaku sebarang pencatutan, manipulasi atau kenaikan harga tidak munasabah.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN