JOHOR BAHRU, 2 April- Pemilik stesen minyak di Johor diminta bersiap sedia bagi menghadapi kemasukan warga Singapura sepanjang hari raya Aidilfitri nanti.
Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Lee Ting Han berkata ia selepas lebih 500,000 warga Singapura memasuki Malaysia Jumaat lalu.
Situasi itu bakal menjangkakan kesesakan di stesen-stesen minyak seluruh negeri sekali gus memaksa pengusaha untuk menambah bekalan petrol.
"Untuk petrol ini, ia merupakan satu keputusan komersil pengusaha stesen minyak masing-masing tetapi kita menggalakkan mereka buat persediaan awal."
"Setiap pengusaha akan memohon secara berasingan jika ada keperluan, ia bergantung keputusan masing-masing sama ada untuk buat permohonan tersebut atau tidak," kata Ting Han kepada pemberita, pada Isnin.
Justeru, 200 pegawai dan anggota penguat kuasa akan memantau di semua stesen minyak bagi mengelak ketirisan pengisian petrol oleh warga asing.