fb fb fb fb fb

Bekalan gula mencukupi - Fuziah

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh

JOHOR BAHRU, 9 Disember - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menafikan berlaku kekurangan bekalan gula dalam negara.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata sebanyak 42,000 metrik tan gula dikeluarkan pada setiap bulan dan itu adalah mencukupi setakat ini.

Setiap hari pemantauan giat dijalankan serta laporan berkaitan pengeluaran gula juga diterima.

"Dia bukan masalah bekalan sebab daripada segi bekalan kita tahu sebab setiap hari kita pantau dan memang mereka menepati, ya mungkin dalam sebulan dua lepas ada sedikit kekurangan, tetapi kita pantau bulan Novemvber ke Disember ini tiada masalah daripada segi pengeluaran," kata Fuziah selepas merasmikan Karnival Rahmah Kasih Sayang Bangsa Johor di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, di sini.

Sementara itu, peniaga makanan laut di Tepian Tebrau, Johor Bahru yang tular di media sosial kerana mengenakan caj bayaran mahal kepada pelanggan telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,500.

Kompaun dikenakan atas kesalahan tidak mempamerkan tanda harga dan gagal mengemukakan maklumat lengkap perniagaan.

Kes disiasat mengikut Peraturan 2 (1) Peraturan Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) serta Seksyen 21(5) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

TETITIA YUSOFF