fb fb fb fb fb

Bekalan bawang dijamin tidak terjejas

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu

MELAKA, 9 Disember - Bekalan bawang tidak akan terjejas dan persiapan sudahpun dibuat sekiranya berlaku perkara sebegini, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu.

Jaminan itu dinyatakan kementerian itu susulan kerajaan India mengeluarkan larangan eksport bawang bermula semalam.

"Saya belum mendapat pengesahan rasmi, namun saya jamin tidak akan berlaku kekurangan bekalan bawang di negara ini.

"Bekalan (bawang) ada sahaja kerana kita turut import dari China, Thailand dan Pakistan serta beberapa negara lain," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Melaka 2023 di sini.

Berhubung isu sama ada akan berlaku kenaikan harga makanan itu, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata perkara berkenaan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Direktorat Perdagangan Luar Negeri India dalam kenyataan berkata kerajaan India memutuskan untuk memindahkan eksport bawang daripada kategori bebas kepada larangan hingga 31 Mac tahun depan, bagi meningkatkan bekalan domestik.

Kenaikan harga makanan berkenaan boleh menjadi isu yang mencetuskan pergolakan politik terutama menjelang pilihan raya Parlimen di negara itu tahun depan.

India merupakan pengeksport terbesar bawang ke negara ini iaitu 36 peratus, manakala China dan Thailand masing masing sebanyak 20 dan tujuh peratus.

TETITIA YUSOFF