fb fb fb fb fb

Bekalan bawang cukup- Fuziah

Fuziah Salleh melakukan tinjauan sempena hari pertama pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023

KUALA LUMPUR, 9 November- Bekalan bawang dalam negara masih mencukupi dan stoknya masih mampu bertahan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata ketika ini stok bekalan sebelum ini masih ada dan pihaknya turut mencari sumber lain bagi memastikan ianya sentiasa mencukupi.

"Setakat ini tidak ada masalah.sebab kita masih ada stok lama dan kita juga mencari daripada negara-negara pengeluar lain selain India, lihat dulu, maklum balas kepada industri, mereka tidak mengalami masalah dari segi mengawal stok,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan sempena hari pertama pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 yang berkuatkuasa mulai 9 November sehingga 15 November 2023.

Sebanyak lapan jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim ini iaitu bawang merah besar import, bawang merah kecil India yang tidak termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal Australia, kelapa biji, kelapa parut dan tomato.

Sementara itu, ketika menjawab dakwaan terdapat kekurangan bekalan gula dan minyak paket bersubsidi di pasaran ketika ini, beliau berkata pihak pengeluar boleh berdepan tindakan sekiranya tidak menepati kuota pengeluaran ditetapkan.

Katanya ini kerana dalam tempoh sebulan, kerajaan memberikan kuota pengeluaran 60,000 metrik tan bagi minyak masak paket dan 42,000 metrik tan gula kepada pihak pengeluar bagi memastikan bekalan kedua-dua barangan itu tidak terjejas.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE