
KUALA LUMPUR, 2 September – Isu kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) akan ditangani dan diselesaikan segera bagi memastikan keperluan input pertanian mereka tidak terjejas.
- Perdana Menteri menamatkan kontrak pembekal Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd.
- Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. (NAFAS) ditugaskan menyelesaikan baki penghantaran Baja 3, penghantaran bermula 3 September 2026, selesai dalam 10 hari.
- MADA akan memantau penghantaran secara rapi dan tiada kompromi terhadap pihak yang gagal menunaikan tanggungjawab sehingga menjejaskan pesawah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bagi menangani perkara itu, Perdana Menteri bersetuju menamatkan perkhidmatan pembekalan oleh Taveekun Manufacturing Sdn. Bhd. susulan kelewatan yang berlaku.
Menurut beliau, anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Malaysian NPK Fertilizer Sdn. Bhd. diberikan tanggungjawab untuk menyelesaikan baki pembekalan Baja 3 kepada pesawah yang terjejas.
“Sehubungan itu, penghantaran baki Baja 3 kepada pesawah yang terjejas akan bermula pada 3 September 2026 dan keseluruhan proses penghantaran disasarkan selesai dalam tempoh 10 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MADA akan memantau proses penghantaran secara rapi sehingga bekalan benar-benar diterima pesawah mengikut jadual ditetapkan, sekali gus memastikan kelancaran aktiviti penanaman padi tidak terjejas.
Datuk Seri Mohamad menegaskan tiada ruang untuk kelewatan berulang, khususnya membabitkan keperluan asas pengeluaran padi dan sumber pendapatan pesawah.
“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal melaksanakan tanggungjawab sehingga menjejaskan kepentingan pesawah dan kelancaran pengeluaran makanan negara,” katanya.