Bekalan bahan bakar dalam negara dijamin stabil – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 2 April – Bekalan bakar negara dijamin kekal stabil dan mencukupi, demikian dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan bersama Petronas dan pemain industri memantau rantaian bekalan setiap hari untuk memastikan kestabilan pasaran.
  • Pelan kontingensi disediakan untuk kelangsungan bekalan dalam apa jua keadaan, termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif.
  • Arahan menubuhkan Pusat Arahan Komunikasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi menyelaras tindakan menangani krisis tenaga global.
  • Konflik di Asia Barat dan gangguan laluan strategik seperti Selat Hormuz meningkatkan ketidaktentuan pasaran dan menekan harga minyak.

Jelas beliau, kerajaan bersama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan pemain industri memantau rapi rantaian bekalan setiap hari bagi memastikan kestabilan pasaran terus terpelihara.

Selain itu, pelan kontigensi juga telah disediakan untuk kelangsungan bekalan dalam apa jua keadaan.

datuk Seri Fadillah turut memaklumkan, pelan berkenaan termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat menyebabkan gangguan berpanjangan.

”Sebagai sebuah negara ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis tenaga dunia ini.

”Bagaimanapun, penting untuk ditegaskan bahawa negara berada dalam keadaan terkawal, bersedia serta mengambil langkah proaktif bagi mengurus kesan krisis ini.

”Pada masa sama, kita perlu terus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya situasi ini berlarutan,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global hari ini.

Taklimat tersebut diadakan susulan arahan Jemaah Menteri untuk menubuhkan sebuah Pusat Arahan Komunikasi di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara bagi menyelaras tindakan dan langkah kerajaan dalam menangani krisis tenaga global berikutan konflik di Asia Barat.

Beliau berkata, gangguan terhadap laluan strategik seperti Selat Hormuz, telah meningkatkan ketidaktentuan pasaran serta memberi tekanan kepada harga minyak untuk kekal pada paras tinggi.