fb fb fb fb fb

Bekalan air cukup, tidak jejas penanaman padi - MADA

Foto hiasan

ALOR SETAR, 24 Januari- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberi jaminan bekalan air mencukupi dan tidak akan menjejaskan aktiviti penanaman padi musim 2/2023 walaupun beberapa kawasan di utara tanah air berdepan situasi musim kering ketika ini.
 
MADA dalam satu kenyataan berkata, sumber air utama pengairan padi bagi Musim 2/2023 adalah daripada pelepasan Empangan Pedu dan pelepasan semasa adalah sebanyak 3,500 kaki padu sesaat.
 
Sehingga hari ini, kedudukan takungan air empangan adalah meliputi takungan Empangan Pedu sebanyak 77.2 peratus; Empangan Muda, 95.4 peratus; dan empangan Ahning sebanyak 95.6 peratus.

"Purata turunan hujan di kawasan Muda secara umumnya adalah sebanyak 7 milimeter.
Jumlah tersebut berkurangan jika dibandingkan dengan turunan hujan pada tahun 2023 dan purata 20 tahun.

"Aktiviti penanaman padi bagi Musim 2/2023 ketika ini telah mencapai 99.2 peratus melibatkan kawasan seluas 99,832 hektar. Manakala peringkat berbunga sebanyak 18.3 peratus dengan keluasan 18,443 hektar dan sebanyak 0.2 peratus padi telah dituai di Kawasan Muda," kata kenyataan itu.
 
Bagaimnapaun keseluruhan aktiviti penuaian padi di Kawasan Muda dijangka mencapai 90 peratus pada penghujung Mac ini.
 
Pemantuan kemajuan aktiviti terus dijalankan oleh pihak MADA sehingga selesai Musim 2/2023 .

Sebagai langkah menghadapi musim cuaca kering di kawasan Muda, pihak MADA turut mengambil beberapa langkah untuk menghadapi situasi kekurangan turunan hujan bagi tujuan pengairan.
 
Antaranya, memaksimumkan penggunaan stesen pam guna semula bagi menjimatkan air dari empangan; pengoperasian pam bergerak untuk membekalkan air ke kawasan tanah tinggi dan tanah bermasalah; dan menjalankan operasi membekalkan air pengairan secara penggiliran mengikut keperluan aktiviti persawahan di setiap wilayah berdasarkan fasa tanaman.
 
Selain itu, mempergiatkan aktiviti kempen pengembangan bagi mempercepatkan aktiviti persawahan dan penjimatan air.
 
Para peladang juga dinasihatkan menguruskan air di peringkat sawah secara berhemah bagi memastikan bekalan air dapat diagihkan dengan sempurna dan mengelakkan pembaziran.
 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI