fb fb fb fb fb

Beberapa kawasan di Terengganu dijangka berlaku banjir mulai esok - JPS

KUALA LUMPUR, 17 Disember - Beberapa lagi kawasan di Terengganu diramal berlaku banjir mulai pagi esok sehingga 19 Disember ini berdasarkan simulasi model ramalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

JPS menerusi satu kenyataan meramalkan kejadian banjir boleh berlaku sekiranya hujan yang signifikan terus berlaku di negeri itu.

Ia dijangka berdekatan lembangan Sungai Terengganu di Sungai Dungun, Sungai Setiu, Sungai Kemaman dan Sungai Besut.

Kawasan dijangka banjir mulai pukul 2.00 pagi esok ialah Sg. Besut, diikuti Sg. Guntung, Sg. Chalok mulai pukul 4.00 pagi dan Sg. Besut, Sg. Keruing Ibu mulai pukul 9.00 pagi.

Sementara di Sg. Berang, Sg. Telemong, Sg. Nerus mulai pukul 8 pagi, Sg. Dungun mulai pukul 12.00 tengah hari dan Sg. Tarung mulai pukul 7.00 malam esok.


(Foto fail)

Bagi 19 Disember pula, kawasan dijangka banjir mulai pukul 12.00 tengah malam ialah Sg. Setiu dan Sg. Teratai.

Manakala, Sg. Cherul, Sg. Kemaman, Sg. Chukai mulai pukul 4.00 pagi dan Sg. Chaluk, Sg. Guntung mulai pukul 2.00 petang.

Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.

Amaran ini dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir.

Media Baharu