KUALA LUMPUR, 11 Julai – Beberapa deklarasi penting Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dijangka diluluskan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 Oktober ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Mohamad Hassan berkata, deklarasi itu sebagai langkah memperkukuh fungsi dan keberkesanan platform kerjasama antara ASEAN dan negara-negara rakan Asia Timur.
Katanya, ini membuktikan komitmen kolektif 18 negara anggota EAS dalam menangani isu-isu global yang mendesak secara lebih berkesan dan bersepadu.
“Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa majlis perasmian sebelum ini, EAS tidak seharusnya sekadar mengeluarkan kenyataan demi kenyataan tanpa tindakan konkrit.
“Sebaliknya, gabungan negara-negara Asia Timur ini perlu menterjemahkan komitmen kepada pelaksanaan nyata dan dijadikan platform lebih luas serta berkesan dalam mendepani cabaran serantau,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar EAS di sini, hari ini.
Terdahulu, Mohamad dalam ucapan pembukaannya, ASEAN kekal sebagai pemacu utama dalam memperkukuh nilai sejagat dalam kalangan negara anggota EAS.
“Kami menegaskan pentingnya dialog berprinsip dan kerjasama jangka panjang untuk menangani isu seperti konflik geopolitik, ketidaktentuan ekonomi, perubahan teknologi dan ancaman keselamatan rentas sempadan,” katanya.
Sementara itu, ASEAN turut menggesa semua negara anggota EAS bertindak tegas menamatkan konflik global berdasarkan prinsip keadilan, kesaksamaan dan kemanusiaan, khususnya dalam isu membabitkan Palestin.
EAS terdiri daripada 18 negara peserta iaitu 10 Negara Anggota ASEAN bersama lapan rakan dialog – Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Republik Korea, Rusia dan Amerika Syarikat.