PUTRAJAYA, 11 Julai- Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelaburan dari United Kingdom (UK) khususnya dalam sektor semikonduktor dan infrastruktur hijau melalui Agenda Perindustrian Global (APG).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hasrat itu dizahirkan dalam perbincangan dua hala beliau bersama Setiausaha Luar Negeri UK, David Lammy di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
"Malaysia menyambut baik kerjasama lebih erat dalam pelbagai bidang yang mencakupi pelaburan, peralihan tenaga, pendidikan, perubahan iklim, pertahanan, pendigitalan dan kecerdasan buatan," katanya menerusi kenyataan.
David Lammy mengadakan kunjungan hormat terhadap Datuk Seri Anwar bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM Ke-58).
Perdana Menteri berkata pihaknya menerima kunjungan hormat berkenaan dengan semangat memperkukuh hubungan dua hala yang telah kini dinaik taraf ke tahap perkongsian strategik sejak pertemuan beliau dengan Perdana Menteri UK, Keir Starmer pada Januari 2025.
Selain itu, turut dizahirkan penghargaan peranan aktif UK sebagai rakan dialog ASEAN terutamanya melibatkan isu serantau.
"Kami turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan aktif UK sebagai rakan dialog ASEAN khususnya dalam mendukung tindakan kemanusiaan di Myanmar dan menyeru gencatan senjata serta pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC)," jelas beliau lagi.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar memaklumkan hubungan Malaysia-UK dilihat semakin matang dan strategik, berteraskan nilai yang dikongsi bersama iaitu keadilan, kedaulatan undang-undang dan kemanusiaan sejagat.