BDR: Usahawan perluas jualan secara dalam talian berdepan ketidaktentuan ekonomi

Pengasas Yayasan Insan Sakan merangkap Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Seri Dr. Riza Datuk Che Umar

SHAH ALAM, 3 April– Golongan pengusaha perniagaan kini menggiatkan usaha memperluaskan aktiviti jualan secara dalam talian sebagai persediaan mendepani pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang dijadualkan bermula pada 15 April ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyusunan semula tenaga kerja giat dilakukan untuk sokong usaha kerajaan hadapi ketidaktentuan ekonomi global.
  • Perlu berdiri teguh bersama kerajaan dan merangka langkah proaktif termasuk mempertimbangkan BDR bagi kakitangan pejabat.
  • Operasi fizikal bergantung suasana, namun Saloma dan Sakan memperluas saluran jualan alternatif untuk hadapi kemungkinan.
  • Yayasan Insan Sakan dan Saloma sumbang keperluan persekolahan, tempat tinggal, dan bantuan sekali bayar RM10,000 kepada keluarga mangsa.

Pengasas Yayasan Insan Sakan merangkap Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Seri Dr. Riza Datuk Che Umar berkata langkah penyusunan semula tenaga kerja sedang giat dijalankan bagi menyokong usaha kerajaan dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global.

“Kita perlu berdiri teguh bersama kerajaan dalam menangani isu global ini kerana ia di luar kawalan kita secara individu. Apa yang penting sekarang adalah merangka langkah proaktif termasuk mempertimbangkan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi kakitangan pejabat.”

“Meskipun operasi fizikal di Saloma amat bergantung kepada suasana (vibe) untuk menarik pengunjung, kami tetap bersedia mendepani sebarang kemungkinan dengan kepelbagaian saluran jualan alternatif di Saloma mahupun Sakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui RTM selepas menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa rempuhan pemandu mabuk, di sini, hari ini.

Dalam majlis yang sama, Dr. Riza memaklumkan bahawa Yayasan Insan Sakan dan Saloma Kuala Lumpur komited membantu meringankan beban waris mangsa menerusi penyediaan sumbangan keperluan persekolahan serta kemudahan tempat tinggal.

Selain itu, bantuan kewangan berjumlah RM10,000 turut diberikan secara sekali bayar kepada isteri dan anak-anak mangsa bagi kegunaan masa hadapan mereka.