MASJID TANAH, 7 Februari- Lebih 100 peniaga akan menawarkan Menu Rahmah di tiga Bazar Ramadan Rahmah di Melaka.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata harga Menu Rahmah ditawarkan serendah RM5.
Bazar Ramadan Rahmah membabitkan Bazar Ramadan Alor Gajah, Bazar Ramadan Duyong dan Bazar Ramadan Jasin Bestari.
"Pada masa yang sama juga, kita akan beri satu tawaran untuk kita nak menggalakkan orang ramai guna kaedah tanpa tunai.
Maka, apabila tanpa tunai ini kita boleh beri pengunjung yang datang itu RM20. Menerusi usaha itu, kalau boleh tanpa tunai dan bukan wang fizikal," kata Norena kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas Pelancaran Program Jualan Rahmah Madani @ Pasar Peringkat Negeri Melaka di Pasar Awam Masjid Tanah, Melaka.
Sementara itu, pemantauan di semua bazar Ramadan akan dilaksana seperti biasa.
Dalam pada itu, KPDN Melaka menawarkan lebih 30 jenis barangan keperluan asas dalam Program Jualan Rahmah Madani Mantai Ramadan Dan Syawal.
Pengarahnya, Norena berkata ia bagi persediaan menyambut bulan Ramadan dan Syawal selain menawarkan pengurangan harga sehingga 30 peratus.
Antara lokasi yang terlibat ialah di Pantai Kundor, Asahan, Bukit Katil dan Lubok China.
"Ini sangat-sangat istimewa sebab orang Melaka selalunya mengadakan Hari Mantai. Ia adalah aktiviti bersama komuniti dua hari sebelum Ramadan dan Aidilfitri," tambah Norena.
Sementara itu, Program Jualan Rahmah Madani @ Pasar julung kalinya diadakan yang melibatkan seramai tujuh peniaga daripada keseluruhan 15 peniaga di pasar berkenaan.
Pelaksanaannya akan diteruskan ke pasar awam lain di sekitar Melaka.