fb fb fb fb fb

Bayi empat bulan, remaja OKU antara penduduk dipindahkan di Kampung Kempadang

Siti Aishah Abd Rahman, bersama suami dan anak

KUANTAN, 28 November - Seorang bayi berusia empat bulan dan seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 19 tahun antara penduduk yang terjejas selepas rumah mereka dinaiki air di Kampung Kempadang, Kuantan, malam semalam.

Air mula memasuki kediaman di kawasan rendah, memaksa penduduk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang sekitar pukul 7 malam.

Rohaya Muhammad, 52 tahun, berkata dia berpindah bersama anak perempuannya yang menghidap Sindrom Down selepas air mencecah paras lutut.

“Dalam 500 meter jugalah mengharung air tu. Jiran-jiran pun nasihat supaya pindah sebab PPS pun mungkin buka. Mula-mula ingat tak nak pindah, tapi semua ajak pindah sebab risaukan dia juga. Dalam air tu ada lintah, ada ular, takut masuk rumah. Sebab tu kami pindah cepat,” katanya.

2811 PHG BANJIR KEMPADANG2Rohaya Muhammad bersama anaknya yang menghidap Sindrom Down

Siti Aishah Abd Rahman, 26 tahun, pula berpindah awal bersama suaminya sambil mendukung bayi mereka dan membawa barang penting seadanya.

“Air naik cepat, kami pun kelam-kabut dengan anak kecil. Barang-barang banyak, ubat pun ada yang sempat bawa, ada yang tak. Kenderaan pun dapat selamatkan masa paras air lutut... sempat capai mana boleh, terus bawa,” ujarnya.

Sementara itu, Norfifah Dahan, 65 tahun, berkata penduduk di Kampung Kempadang sudah biasa berpindah setiap kali banjir berlaku.

“Tiap-tiap tahun memang macam ni… kalau banjir, pindah. Mula-mula dulu trauma juga, tapi sekarang dah biasa. Tak ada dah rasa tak nak pindah,” katanya.

2811 PHG BANJIR KEMPADANG265Norfifah Dahan

Hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kuantan dilanda banjir, menjadikan Kuantan daerah paling terjejas diikuti Maran, Raub dan Lipis.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 2 petang, tujuh PPS di Kuantan menempatkan 401 penduduk daripada 127 keluarga.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE