fb fb fb fb fb

Bayi baru lahir ditemui di Bahu Jalan, polis buru remaja lelaki

Bayi baru lahir dijumpai orang awam di Lorong Cempaka Indah 39, Sungai Petani

SUNGAI PETANI, 13 Julai - Tangisan bayi yang kedengaran di bahu jalan membawa kepada penemuan seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan, dipercayai dibuang di Lorong Cempaka Indah 39, Taman Cempaka Indah, Bukit Selambau, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Hanyan Ramlan, berkata bayi tersebut ditemui orang awam kira-kira pukul 9.55 pagi, dalam keadaan tidak berpakaian dan terbaring di atas tanah berbatu.

"Saksi pertama yang sedang menjemur pakaian terdengar tangisan bayi sebelum menemuinya dalam keadaan tidak berpakaian. Jiran sekitar kemudian membantu membawa bayi itu ke kawasan yang lebih selamat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bayi berkenaan kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan lanjut dan disahkan berada dalam keadaan sihat, kecuali beberapa calar pada mata dan badan sebelah kanan.

Hasil siasatan turut menemui kesan titisan darah di sekitar lokasi kejadian.

Susulan itu, pihak polis sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun bagi membantu siasatan, manakala teman wanitanya yang berusia 19 tahun belum ditahan kerana masih menerima rawatan selepas melahirkan bayi tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan membuang bayi.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN