KUALA LUMPUR, 13 Julai - Tentera Darat Malaysia (TDM) akan melaksanakan Eksesais KERIS STRIKE 2025 bersama Tentera Darat Amerika Syarikat (US Army) dan Tentera Darat Australia (Australian Army) selama 14 hari bermula Khamis depan di beberapa lokasi terpilih di Perak.
Menurut kenyataan Sel Perhubungan Awam Markas TDM, antara kawasan yang terlibat sepanjang latihan yang berlangsung sehingga 30 Julai ini termasuk Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar dan Lenggong.
Eksesais tahunan itu bertujuan meningkatkan keupayaan operasi bersama selain memperkukuh hubungan ketenteraan dengan negara-negara sahabat
“Ia juga bertujuan meningkatkan tahap kesiagaan TDM dalam menghadapi sebarang ancaman keselamatan serantau,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya melihat kehadiran anggota tentera asing, pergerakan konvoi kenderaan dan aset tentera serta aktiviti ketenteraan sepanjang tempoh eksesais berlangsung.