fb fb fb fb fb

Alumni belia perlu gabung bawah majlis konsultasi

Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Persatuan alumni belia wajar disatukan bawah satu majlis konsultasi bagi membolehkan mereka berperanan lebih aktif sebagai jambatan dalam menyampaikan suara rakyat kepada Kerajaan MADANI.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam usaha memperkasa peranan alumni belia secara menyeluruh.

"Sudah tiba masanya kita wujudkan inisiatif baharu yang menghimpunkan alumni pertubuhan belia dalam satu majlis konsultasi bagi membolehkan mereka bersama-sama membantu mengemudi hala tuju Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Gala dan Anugerah Inspirasi Harmoni Klasik 2025 sempena Perhimpunan Agung Tahunan Alumni 4B Malaysia, di sini.

Adam Adli berkata, beliau turut berharap cadangan itu akan mendapat sokongan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan Pertubuhan Belia 4B sudah memainkan peranan penting sejak lebih lima dekad dalam melahirkan bukan sahaja aktivis, malah pemimpin akar umbi yang memahami denyut nadi masyarakat.

“Bergerak dari kampung ke kota meniup semboyan 4B iaitu ilmu, disiplin, bersatu dan berbakti.

Ini yang menjadi suluhan dalam menerangi jalan buat ramai anak bangsa,”katanya.

Menurutnya, meskipun zaman sudah berubah dan golongan muda lebih tertarik kepada gajet dan dunia digital, semangat perjuangan pertubuhan belia tetap boleh disesuaikan dengan kehendak semasa.

“Saya membesar di bandar, namun tetap ingat bagaimana kehadiran Belia 4B amat kukuh dan diterima masyarakat, sama ada di Melaka atau Pulau Pinang.

Kini, cabaran kita ialah untuk menyesuaikan pendekatan agar terus relevan,” katanya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN