fb fb fb fb fb

Bayaran STR Fasa 2 dibayar pada Rabu ini

Gambar hiasan BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 April - Seramai 8.4 juta rakyat Malaysia bakal menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024 Fasa 2 yang akan disalurkan pada Rabu ini melibatkan bayaran antara RM100 hingga RM650.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sumbangan itu bagi membantu rakyat berpendapatan rendah dan sederhana rendah selain menangani peningkatan kos sara hidup.

"Reformasi ekonomi yang diterajui Kerajaan MADANI bukan semata-mata untuk memperbetul struktur kewangan negara, tetapi ia berbekalkan niat ikhlas untuk memastikan kekayaan negara dapat dikongsi dengan rakyat secara lebih saksama.

"Insya-Allah, Kerajaan akan tingkatkan lagi bantuan tunai kepada rakyat sejajar dengan penambahbaikan fiskal negara termasuk pelaksanaan penyasaran subsidi kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya yang juga merupakan Menteri Kewangan melalui kenyataan hari ini.

Tahun lepas, kerajaan telah menambah peruntukan program subsidi bersasar STR Fasa 2 sebanyak 20 peratus kepada RM1.5 bilion berbanding RM1.26 bilion.

Tambah beliau, penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 2 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan STR masing-masing.

Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.

Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.

Kementerian Kewangan menasihatkan penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR. 

GRACE AISYAH KEDAYAN