fb fb fb fb fb

Bayaran secara tunai di fasiliti kesihatan negeri Melaka masih dibenarkan

(Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh ditemu bual media selepas 
Majlis Apresiasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja dan Kanak-Kanak Zon Selatan
di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) hari ini) 

AYER KEROH,1 November - Orang ramai di Melaka masih dibenarkan membuat bayaran secara tunai di semua fasiliti kesihatan negeri itu sehingga diberitahu kelak.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata ia bagi memudahkan rakyat khasnya warga emas untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti berkenaan.

"Pesakit ada pilihan untuk membayar secara tunai atau pun secara dalam talian, itu kita guna pakai di negeri Melaka sehinggalah akan dimaklumkan kita nak buat secara 'total' itu bila tapi setakat ini kita masih pakai dua-dua boleh pakai, jadi saya mohon nanti kita akan keluarkan pekeliling juga doktor jabatan kesihatan membenarkan bahawa pembayaran secara tunai dan juga atas talian boleh dilakukan di mana-mana premis kesihatan di dalam negeri Melaka ini," kata beliau selepas Majlis Apresiasi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja dan Kanak-Kanak Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

(Foto hiasan)

Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut menyarankan pembudayaan semula pemakaian pelitup muka dan mendapatkan dos penggalak kedua bagi mengekang COVID-19.

Katanya, walau pun trend jangkitan COVID-19 menunjukkan peningkatan situasi semasa masih dalam keadaan terkawal dan setakat ini tiada VOC sub-varian Omicrob XBB di negeri ini.

Di negeri Melaka, seramai 536,990 penerima dos penggalak satu dicatatkan, mana kala penerima dos penggalak kedua seramai 14,194 orang.

Media Baharu