fb fb fb fb fb

Bayaran Insentif Awal penjawat awam, dibayar 23 Februari ini - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 6 Februari- Bayaran Insentif Awal akan dibayar sekali gus pada 23 Februari 2024 ini, bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang Ramadan dan Syawal.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bayaran itu diberi sementara menunggu Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dimuktamadkan.

"Bayaran Insentif Awal bernilai RM2,000 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 kepada semua jawatan utama sektor awam."

"Bayaran RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan veteran tidak berpencen," kata Anwar kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bersama Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, di sini.

Beliau turut menambah, kerajaan juga komited untuk merealisasikan pelarasan gaji penjawat awam yang sudah belasan tahun tidak dikaji semula.

Tegas Anwar, sebarang keputusan yang bakal diumumkan mengenai pencen penjawat awam, tidak akan menjejaskan pencen penjawat awam sedia ada.

Sementara itu, Datuk Seri Anwar menyeru semua penjawat awam untuk memberi fokus terhadap polisi domestik ketika menjalankan tugas.

Menurut beliau, ia merupakan perkara kritikal yang harus diberi tumpuan dalam membangunkan sesebuah negara.

Beliau turut memberi pesanan agar penjawat awam sentiasa bersabar dengan cabaran yang dihadapi ketika bertugas.

Selain itu, meletakkan niat bertugas untuk Allah SWT dan mengenepikan perkara-perkara negatif yang boleh mencemarkan nama baik perkhidmatan awam.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM