KUALA LUMPUR, 20 Mac - Bayaran bagi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 1 akan disalurkan kepada penerima selewat-lewatnya 31 Mac ini.
Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, pengumuman penyaluran bantuan kepada penerima yang layak akan dibuat dalam masa terdekat.
(Penyaluran bantuan akan diberitahu dalam masa terdekat)
"Untuk makluman semua Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) perlu menapis 12 juta permohonan untuk BKM tahun ini. Dan mereka sedang berusaha untuk mengesahkan kelayakan semua permohonan ini secepat mungkin, kerana kita nak pastikan semua keluarga yang layak akan menerima bantuan," kata Zafrul menerusi facebooknya.
Zafrul menegaskan proses pengesahan perlu dilakukan dengan teliti dan tidak tergesa-gesa.
Ia bagi mengelakkan permohonan yang layak, tercicir daripada menerima bantuan.
BKM akan memberi manfaat kepada 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion tahun ini.