KUALA LUMPUR, 3 Mei - Sebanyak 132 kes Pertussis atau batuk kokol dengan dua kematian dilaporkan di negara ini, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata angka itu merupakan kes yang direkodkan pada tahun ini sehingga 28 April.
Katanya jika dibandingkan bagi tempoh yang sama iaitu sehingga 28 April pada tahun 2019, sebanyak 495 kes dicatatkan sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 73.3 peratus.
Daripada 132 kes pertussis yang dilaporkan, 89 kes iaitu 67.4 peratus dalah warganegara manakala 43 kes bersamaan 32.6 peratus lagi merupakan bukan warganegara.
Bayi berumur bawah 12 bulan adalah kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 67 kes iaitu 50.8 peratus.
Kanak-kanak berumur di antara satu tahun hingga hingga 10 tahun mencatat sebanyak 47 kes bersamaan 35.6 peratus dan selebihnya berumur 11 tahun dan ke atas.
“Imunisasi merupakan langkah pencegahan pertusis yang berkesan. Di Malaysia, vaksin pertusis diberikan kepada kanak-kanak secara rutin pada umur 2, 3, 5 dan 18 bulan.
"Wabak pertussis dalam komuniti boleh dicegah dengan memastikan liputan imunisasi pertussis sentiasa melebihi 95 peratus pada setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya berdasarkan situasi semasa, kebanyakan kes pertussis di negara ini adalah dalam kalangan bayi berumur kurang dari lima bulan yang belum mencapai tahap imuniti optima.
Hal ini kerana bayi tersebut masih belum lengkap tiga dos primer vaksin pertussis.
"Justeru, KKM sedang meneliti keperluan pelaksanaan pemberian vaksin kombinasi Tetanus- Difteria-Pertussis (Tdap) kepada ibu hamil.
"Ibu hamil yang menerima vaksin pertussis ini dapat melindungi bayi bermula dari dalam kandungan sehingga bayi dapat melengkapkan dos primer vaksin kombinasi enam serangkai seperti Jadual Imunisasi Kebangsaan," tambah beliau.
Beliau menasihati individu yang bergejala perlu sentiasa mengamalkan etika batuk dan bersin iaitu dengan menutup mulut dan diikuti dengan mencuci tangan bagi mencegah penularan jangkitan kepada orang lain.
"Segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala batuk kokol," katanya.
Batuk Kokol: KKM rekod dua kematian ,132 kes setakat April
