fb fb fb fb fb

Bas persiaran terbabas, 42 penumpang terselamat

Foto Hiasan

IPOH, 12 Mei - Seramai 41 penumpang termasuk pemandu sebuah bas persiaran cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat kemalangan di kilometer (KM) 264.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Terowong Menora.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad dalam kenyataan berkata kemalangan itu turut membabitkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dan kesemua mangsa dilaporkan terselamat.

"Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 7.42 pagi.

"Berdasarkan maklumat awal, bas berkenaan dalam perjalanan dari Kupang, Kedah, menuju ke Ipoh bagi menghadiri majlis keagamaan sebelum terbabas dan terbalik ke dalam longkang di lokasi kejadian," kata Sabarodzi.

Tambahnya, kesemua mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan lanjut. 

TETITIA YUSOFF