fb fb fb fb fb

Bantuan lebih RM1 juta kepada golongan petani

(Pesawah diberi bantuan melalui tabung bencana padi)

PASIR PUTEH, 14 November- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) terus menyantuni golongan petani dengan nilai keseluruhan lebih RM1 juta melalui pelbagai bentuk bantuan.

Antaranya Bantuan Agropreneur, Bantuan Geran Pemadanan Change Upgrade Produk dan Bantuan Program Rezeki Tani.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Makanan 2, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, 71 pesawah yang terjejas teruk akibat bencana ribut turut di beri bantuan melalui tabung bencana padi dengan peruntukan lebih RM164,000.

Jelasnya, kepentingan peranan yang dimainkan oleh golongan sasar bagi memastikan kelangsungan dan kelancaran rantaian bekalan makanan negara.

"Jadi peruntukan ini sememangnya memberi gambaran, kerajaan sentiasa memberi keperihatinan kepada rakyat yang menjadi barisan hadapan untuk menyediakan bekalan makanan negara kita."

(Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh)

Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata demikian pada sidang media selepas Program Semarak Tani Perkasa Komuniti Agromakanan Luar Bandar di Bandar Tok Janggut Pasir Puteh.

Hadir Sama Pengerusi KADA, Datuk Kamarudin Md Nor.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti Karnival My Best Buy Keluarga Malaysia, Kenduri Rakyat , Karnival Sukan Rakyat dan Ziarah Tani.

Program semarak tani merupakan salah satu inisiatif bertujuan memperkasakan penghasilan produk agromakanan oleh komuniti setempat selain menyampaikan maklumat serta dasar-dasar terkini kerajaan secara terus kepada rakyat di peringkat lapangan.

Media Baharu