fb fb fb fb fb

Banteras penipuan rentas sempadan: ASEAN digesa bertindak tegas

Perdana Menteri bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ketua-ketua pengarang /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 23 Oktober – Malaysia akan terus menggesa ASEAN mengambil tindakan tegas dan segera bagi menangani kegiatan sindiket penipuan rentas sempadan yang semakin berleluasa di rantau ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan isu itu akan dibawa untuk perbincangan mendalam pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, memandangkan ia menjejaskan kestabilan ekonomi dan sosial negara anggota.

“Sebelum ini telah ada perbincangan dua hala dan jaminan diberikan, namun kegiatan ini masih berlaku di beberapa negara,” katanya pada sesi taklimat bersama ketua pengarang, di sini.

"Saya yakin perkara ini akan sekali lagi dibangkitkan dalam sidang kemuncak nanti. Saya sendiri telah membangkitkan isu ini kepada rakan sejawat beberapa kali, dan mereka telah menunjukkan langkah-langkah yang sedang diambil," tambahnya.

Perdana Menteri turut menekankan komitmen kukuh di peringkat kepimpinan serantau amat penting bagi memastikan penyelesaian tuntas dapat dicapai.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN