KUALA TERENGGANU, 26 November -Enam daerah di Terengganu kini terjejas akibat banjir iaitu di daerah Marang, Besut, Setiu, Dungun, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu.
Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat pukul 11.00 pagi tadi, seramai 1,369 penduduk terjejas daripada 432 keluarga kini berlindung di 25 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan hujan berterusan sejak malam tadi.
"Paling ramai di Daerah Marang dengan 900 penduduk daripada 275 keluarga di lapan PPS, diikuti daerah Setiu dengan menempatkan 199 penduduk daripada 63 keluarga di lapan PPS. Manakala di Besut 114 orang melibatkan 41 keluarga, Dungun 68 orang daripada 16 keluarga, Hulu Terengganu 28 orang daripada 5 keluarga dan Kuala Terengganu 60 orang daripada 32 keluarga," menurut Info Bencana JKM.
Ketika ini hujan masih lagi berlaku di beberapa tempat dan jumlah penduduk terjejas dijangka bertambah.
Orang ramai yang berada di kawasan berisiko terutama di kawasan rendah diminta peka terhadap arahan semasa dan mengikuti perkembangan melalui saluran rasmi.
Sementara itu, menerusi laporan Jabatan Kerja Raya negeri, terdapat satu jalan Persekutuan iaitu jalan Penghubung LPT ke Bukit Payong Marang ditutup kepada semua kenderaan dengan kedalaman paras air melebihi 0.8 meter.
"Laluan berkenaan ditutup bermula pukul 10.00 pagi tadi dan laluan alternatif berhampiran persimpangan lampu isyarat FT250 susur keluar pasir Tinggi. Satu lagi laluan ditutup kepada semua kenderaan ialah Jalan Permaisuri Hulu Seladang di Kampung Besut, Setiu dan tiada laluan altenatif bagi jalan berkenaan," menurut info itu lagi.
Bagi Sungai Sungai utama pula, enam sungai melepasi paras bahaya antaranya Sungai Besut di Kampung La, Jambatan Keruak di Sungai Besut, Sungai Setiu di Kampung Besut, Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Sungai Besut di Kampung La dan Sungai Besut di Kampung Keruak.