Banjir Sabah: Penduduk terjejas catat penurunan, empat PPS di Beaufort masih beroperasi

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 1 Mac– Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah terus mencatatkan penurunan kepada 1,387 orang daripada 442 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 1,462 orang daripada 467 keluarga pada tengah hari tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • PPS Masjid Darul Ikhlas di Beaufort ditutup selepas perkembangan positif keadaan banjir.
  • Empat PPS lain di daerah Beaufort masih beroperasi untuk menempatkan mangsa terkesan.
  • Tiada laporan kemalangan jiwa atau mangsa terkorban setakat ini.
  • Jabatan Meteorologi ramal hujan di beberapa kawasan pedalaman Sabah petang dan malam ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan, pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Darul Ikhlas di Beaufort ditutup pada 12 tengah hari tadi selepas keadaan banjir menunjukkan perkembangan positif.

Menurut kenyataan itu, sebanyak empat PPS lagi masih beroperasi di daerah Beaufort bagi menempatkan mereka yang terkesan.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa atau mangsa terkorban dilaporkan.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan beberapa kawasan di pedalaman Sabah dijangka mengalami hujan pada sebelah petang dan malam ini.- BERNAMA