KUALA LUMPUR, 16 Februari- Penduduk terjejas banjir di Sabah kekal 54 orang daripada 13 keluarga untuk rekod pagi ini dan tengah malam tadi.
Portal Bencana, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mencatatkan kesemua penduduk terjejas itu masih ditempatkan di satu pusat pemindahan sementara (PPS), setakat pukul 6.00 pagi ini.
"Daerah terjejas adalah Kinabatangan," menurut data itu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan penumpuan angin berlaku di Sarawak pada esok hingga 19 Februari ini yang berpotensi mengakibatkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh berpanjangan.
Ketua Pengarah METMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dalam kenyataan turut meramalkan keadaan cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius di kebanyakan kawasan utara Semenanjung bagi tempoh tiga hari akan datang.
Justeru, orang ramai disaran merujuk laman web rasmi METMalaysia di www.met.gov.my, media sosial rasmi jabatan itu serta aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.