KUALA LUMPUR, 16 Februari- Nilai sebenar ketamadunan sesebuah kota terletak pada sejauh mana ia menjamin keadilan sosial untuk semua warganya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa menegaskan bahawa sebuah bandar tidak boleh diukur hanya dengan bangunan pencakar langit atau infrastruktur yang megah, tetapi lebih kepada keharmonian masyarakatnya dan kesejahteraan rakyat.
"Tidak ada maknanya kita memiliki bangunan pencakar langit yang mungkin tertinggi di rantau ini, tetapi dalam masa sama masih ada rakyat atau orang ramai yang terpaksa bergelut dalam kesukaran hidup.
Tidak ada ertinya juga, kita berbangga dengan kedudukan bandar kita sebagai antara bandar terbaik di dunia ini, jika aspek sosialnya seperti kebersihan ataupun kesejahteraan sosial masih lagi terabai," kata Dr. Zaliha kepada pemberita pada Program Wilayah Persekutuan Harmoni, di ibu negara, semalam.
Beliau turut menegur pentingnya kesedaran sivik dalam kalangan rakyat, mengingatkan bahawa pembangunan fizikal perlu diimbangi dengan nilai kemanusiaan.
Dr. Zaliha turut menyentuh tentang konsep "Ketamadunan Madani" yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan kesejahteraan manusia di samping kemajuan fizikal.
Pada tahun 2024, Wilayah Persekutuan berjaya mengeluarkan 99.9 peratus daripada jumlah golongan miskin tegar melalui pelbagai bantuan termasuk program untuk mendaya upayakan ketua isi rumah menceburkan diri dalam perniagaan, demi memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkukuh.