KUALA LUMPUR, 27 November - Penduduk terjejas banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kelantan, terus meningkat.
Setakat 9.00 malam, lebih 23,000 orang dipindahkan ke 134 PPS yang dibuka melibatkan sembilan jajahan berbanding lebih 6,000 orang setakat tengah hari.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasir Mas mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi dengan 8,972 orang daripada 2,779 keluarga di 34 PPS; Tanah Merah, 2,857 orang daripada 869 keluarga berlindung di 20 PPS; dan Pasir Puteh, 2,281 orang daripada 678 keluarga berada di 16 PPS.
Sementara di Kuala Krai, 2,246 orang daripada 648 keluarga berada di 21 PPS; Kota Bharu, 2,098 orang daripada 644 keluarga berlindung di 17 PPS manakala Tumpat, 1,731 orang daripada 478 keluarga berada di lima PPS.
Di Machang pula, 1,722 orang daripada 506 keluarga ditempatkan di 11 PPS; manakala Jeli, 762 orang daripada 200 keluarga berlindung di empat PPS.
Sementara itu, menurut portal Public InfoBanjir, tujuh sungai melepasi paras bahaya dengan trend meningkat iaitu Sungai Lanas di Jeli, Sungai Melor, Bachok; Sungai Golok, Rantau Panjang; Sungai Kelantan di Tanah Merah; Sungai Semerak di Pasir Puteh dan Sungai Kelantan di Machang.
Beberapa sungai lain juga mencatatkan bacaan lepasi tahap waspada dengan trend menaik.