KUALA LUMPUR, 27 November- Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) diarah segera melaksanakan pelan mitigasi bagi menyelesaikan masalah banjir di kawasan sekitar projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata arahan itu susulan insiden banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda ketika ini.
"Memang Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) turut terjejas. Saya baru menerima laporan bahawa landasan KTMB dibanjiri dan operasi kereta api tidak dapat dijalankan.
"Jika banjir di kawasan tertentu berpunca daripada projek ECRL, saya minta pihak MRL turun segera ke lokasi bagi melaksanakan pelan mitigasi dengan segera.
"Kami mahu masalah banjir ini diselesaikan segera untuk meringankan beban rakyat di kawasan terjejas," katanya semasa sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pengangkutan di Dewan Rakyat hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan lebih 1,000 penduduk di Kampung Banggol Pak Esah, Pasir Puteh, terjejas selepas terowong pembinaan ECRL di kampung tersebut ditakungi air akibat hujan lebat.
Dalam pada itu, Loke berkata pihaknya sedang berusaha bagi mendapatkan kelayakan subsidi diesel buat operator feri.
"Kita mahu membantu operator-operator ini, memang kita cuba mendapatkan subsidi diesel untuk mereka. Kementerian Pengangkutan sudah berbincang dengan Kementerian Kewangan.
"Saya rasa ada berita baik yang akan kita sampaikan tidak lama lagi. Secara prinsipnya, Kementerian Kewangan tiada masalah, tetapi ia memerlukan surat hitam putih daripada Kementerian Kewangan terlebih dahulu untuk mengesahkan pemberian subsidi kepada operator," katanya