fb fb fb fb fb

BANJIR: Pelajar SK Sungai Bukit Balai, Tubau dibenarkan pulang, 42 masih berada di asrama sekolah

TUBAU, 19 Januari - Seramai 42 daripada lebih 100 pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Bukit Balai, Tubau di Bintulu, Sarawak masih berada di asrama sekolah terbabit.

Sementara pelajar lain telah dibawa pulang ibu bapa masing-masing susulan kawasan sekolah di kawasan pedalaman itu dinaiki air sejak Rabu minggu lalu.

Menurut Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Richard Rayem, sekolah masih beroperasi seperti biasa walaupun tingkat bawah bangunan kelas dinaiki air dan tidak dapat digunakan.

"Ibu bapa sudah mengetahui keadaan di kawasan mereka, apabila air naik di kawasan mereka tahu sekolah memang akan banjir.

"Jadi mereka datang ke sekolah minta kebenaran, sebab mereka fikirkan keselamatan anak-anak mereka. Bukan kita di sekolah tidak kawal tidak jaga mereka, tetapi mereka lebih risau," kata Richard ketika ditemui RTM semasa tinjauan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Daerah Bintulu ke sekolah berkenaan malam tadi.

Sementara itu, menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bintulu, Leftenan Pertahanan Awam Raidah Jomi, pihaknya menerima laporan mengenai situasi banjir di sekolah terbabit kelmarin.

Hasil pemantauan, ujarnya, paras air didapati setinggi lebih satu meter khususnya di kawasan rendah.

Jika hujan berterusan di bahagian hulu sungai, ia akan mengakibatkan paras air semakin meningkat.

"Memang risiko banjir di sini mengalami kekangan untuk pelajar dan guru-guru meneruskan operasi sekolah.

"Dan pihak sekolah mengambil langkah yang betul dan sewajarnyalah dan telah memberi kebenaran balik kepada semua pelajar," kata Raidah.

Beliau menambah, APM Bintulu akan terus memantau situasi semasa di kawasan tersebut selain bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

SK Kuala Kebulu antara sekolah di Tubau yang turut dinaiki air.

 

Media Baharu