fb fb fb fb fb

Banjir lumpur, tanah runtuh: 54 penduduk Orang Asli Kampung Brooke Lama dipindahkan ke PPS

Banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Brooke Lama

GUA MUSANG, 29 November - Seramai 54 penduduk Orang Asli daripada 14 keluarga di Kampung Brooke Lama dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan sejak malam tadi selepas kawasan perkampungan mereka berisiko dilanda banjir lumpur dan tanah runtuh.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk tentang masalah takungan air semula jadi dan pembetung yang terletak berhampiran Kampung Brooke Lama.

“Tujuan pemindahan ini adalah bagi memastikan keselamatan penduduk sekiranya berlaku sebarang kemungkinan tanah runtuh. Bagaimanapun, pihak JMG dan pakar cerun akan datang untuk membuat penilaian susulan.

"Buat masa ini, penduduk telah dipindahkan ke PPS Pos Brooke. Kita juga masih menunggu laporan lengkap daripada JMG dan pakar cerun untuk penilaian teknikal," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim mengatakan, pihak berwajib telah melakukan kerja awal membersihkan kawasan pembetung.

“Buat masa ini, kerja-kerja segera telah dilaksanakan. Namun, kita berharap penduduk kampung sentiasa mematuhi langkah keselamatan dan peka terhadap arahan semasa yang disampaikan oleh pemimpin setempat.

"Kejadian seperti ini tidak pernah berlaku di kawasan ini, dan seperti biasa, langkah pencegahan serta tindakan segera amat penting bagi memastikan keadaan sebegini tidak berulang," katanya.

Perkara yang sama turut dimaklumkan oleh Penghulu Kamlung Brooke Lama, Rian Bujang yang mengatakan kejadian berpunca daripada penerokaan tanah.

“Masalah ini berpunca daripada penerokaan tanah di hulu sungai. Apabila hujan, tanah mengalir masuk ke sungai kecil yang menjadi sumber air kami dan terus menuju ke kampung kerana saluran telah tersumbat.

"Kami berharap pihak bertanggungjawab dan penguat kuasa dapat membantu menyelesaikan masalah ini," katanya.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN