KOTA TINGGI, 4 Mei - Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Kota Tinggi, susulan banjir kilat yang melanda daerah itu, sejak pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, setakat pukul 3.00 petang, sejumlah 88 penduduk terjejas terdiri daripada 22 buah keluarga, sedang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang.
Jumlah itu turut meningkat berbanding 22 orang dari 7 buah keluarga terjejas, direkodkan pada pukul 2.00 petang tadi.
PPS yang dibuka pada pukul 12.30 tengahari itu, menempatkan penduduk dari kawasan Kampung Temenin Baru dan Kampung Desa Makmur.
Selain Kota Tinggi,beberapa daerah seperti Batu Pahat, Segamat, Kluang dan Mersing, Pontian, Kulai dan Johor Bahru turut menerima amaran hujan lebat dan ribut petir sehingga pukul 6 petang nanti.
Amaran dikeluarkan susulan terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter perjam, yang berlarutan hampir atau melebihi sejam.