TASEK GELUGOR, 18 Oktober - Beberapa rumah kediaman di Kampung Tun Sardon, berhampiran Masjid Jamek Ara Kuda di sini, dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak petang semalam.
Menurut laporan awal, peningkatan paras air dipercayai berpunca akibat limpahan dari Sungai Kulim.
Penolong Pengarah (Operasi Kebombaan dan Penyelamat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.01 malam.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penanti digerakkan ke lokasi kejadian sejurus kemudian.
"Pasukan tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian dan mendapati paras air banjir di kawasan terjejas dianggarkan setinggi satu meter," katanya menerusi satu kenyataan.
Setakat ini, tiada penduduk dipindahkan.
Operasi turut dibantu oleh anggota dari BBP Kepala Batas yang membawa bersama aset tambahan termasuk bot sebagai persediaan jika situasi bertambah buruk.
Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kini sedang menjalankan pemantauan rapi bagi menilai situasi semasa serta memastikan keselamatan penduduk di kawasan terbabit.
Paras air di kawasan terjejas turut menunjukkan trend penurunan.