KULIM, 17 Oktober - Hujan lebat selama dua jam bermula pukul 5 petang tadi menyebabkan beberapa kawasan di Daerah Kulim, Kedah dilanda banjir kilat.
Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) turut dibuka malam ini iaitu PPS Surau Taman Sang Kancil dan PPS Dewan Kampung Paya Tok Betok.
Bagaimanapun jumlah sebenar penduduk yang dipindahkan ke PPS masih dalam proses bancian.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Kedah dalam kenyataan memaklumkan antara kawasan terlibat termasuk Kampung Padang Tembak, Taman Seri Kulim, Kampung Seri Kulim, Kampung Taman Kancil, Lunas dan Kampung Padang Limau.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Rizal Mohamad Radzi berkata antara kawasan yang terjejas teruk adalah Kampung Belakang Taman Sang Kancil, Mukim Lunas yang melibatkan hampir 30 keluarga yang dipindahkan ke PPS Surau Taman Sang Kancil.
Jelasnya agensi kerajaan seperti APM, Polis, Bomba, Penghulu dan Ketua kampung serta penduduk membantu memindahkan penduduk terjejas ke PPS.
Difahamkan, trend air menunjukkan penurunan dan air telah surut sepenuhnya di sesetengah kawasan.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan memantau perkembangan cuaca yang tidak menentu ketika ini.
Mereka juga diingatkan supaya segera berpindah ke kawasan selamat.