PULAU PINANG, 11 Mei - Hujan lebat sejak pukul 5 pagi tadi mengakibatkan beberapa laluan utama di Pulau Pinang ditakungi air.
Ia mengakibatkan berlakunya kesesakan di laluan yang terjejas.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam catatan Facebook mengesahkan keadaan lalu lintas terkini di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu masih bergerak perlahan akibat air yang bertakung sehingga pertengahan jalan.
(Petugas MBPP sedang melakukan kerja-kerja mengorek laluan air di lokasi kejadian/Foto FB MBPP)
Setakat pukul 9 pagi katanya, kerja-kerja pengorekan laluan air sedang dilaksanakan oleh petugas Jabatan Kejuruteraan MBPP.
Tambahnya, pengguna laluan tersebut diminta agar bersabar dan Unit Warden Trafik MBPP sedang membuat kawalan aliran trafik bagi melancarkan perjalanan.
Mereka juga boleh menggunakan laluan alternatif sekiranya ingin menuju ke pusat bandaraya.