KUALA LUMPUR, 30 Disember - Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu semakin pulih dengan jumlah penduduk terjejas yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) kian berkurangan namun di Johor situasi berbeza direkodkan apabila satu lagi PPS dibuka setakat 8 malam tadi.
Di Kelantan, menurut Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jumlah penduduk terjejas berkurangan kepada 476 orang berbanding 573 orang petang tadi.
Kesemua mereka membabitkan 135 keluarga itu ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Tanah Merah.
PPS SK Bendang Nyior masih merekodkan penduduk terjejas paling ramai di daerah itu iaitu seramai 98 orang membabitkan 26 keluarga.
Sementara itu, portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran mencatatkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada paras bahaya dengan ketinggian 10.32 meter.
Di Terengganu, Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri memaklumkan situasi banjir hampir pulih sepenuhnya apabila jumlah penduduk terjejas berkurang kepada 44 orang daripada 12 keluarga malam ini berbanding 238 orang petang tadi.
Kesemua mereka ditempatkan di PPS Masjid Kampung La dan Dewan Terbuka Kampung Belaoh, Besut.
Berdasarkan semakan di Portal Public InfoBanjir, paras air di dua stesen iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Telemong di Kuala Ping (F1), Hulu Terengganu melepasi tahap amaran.
Sementara itu di Johor satu lagi PPS telah dibuka di Kota Tinggi dengan jumlah penduduk terjejas meningkat kepada 26 orang malam ini berbanding 12 orang petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan, PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas menempatkan 13 orang daripada tiga keluarga manakala PPS yang baru dibuka di Sekolah Kebangsaan Gambut pada 6.45 petang tadi menempatkan 13 orang daripada empat keluarga.
Lima sungai di Johor turut berada pada paras waspada iaitu Sungai Muar di Segamat, Sungai Siku dan Sungai Ulu Pontian Besar di Kulai, Sungai Ulu Sedili Besar di Kota Tinggi dan Sungai Paya Dato’ di Mersing.